Renungan Bersama

Maksud bacaan di dalam solat

Assalammualaikum…..
Sekian lama kita mengerjakan solat tetapi adakah kita mengetahui akan maksud setiap ayat di dalam solat…Di sini ifah masukkan maksud bacaan di dalam solat agar kita lebih kusyuk dalam solat yg kita kerjakan setiap hari. Semoga ianya bermanfaat untuk semua. InsyaAllah.

Takbiratul-Ihram / Takbir

Allah Maha Besar. 





Doa Iftitah


Allah Maha Besar sebesar-besarnya. Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya. Dan Maha Suci Allah siang dan malam. Aku hadapkan wajahku kepada yang menjadikan langit dan bumi, dengan penuh tunduk dan berserah diri kepada-Nya dan bukanlah aku dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah. Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku,hidupku dan matiku hanya kerana Allah,Tuhan seru sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya. Dan dengan yang demikianlah aku diperintahkan dan aku adalah dari golongan orang-orang islam.

Al-Fatihah

Dengan nama Allah yang Maha  Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah seru sekalian alam. Yang bersifat pengasih penyayang. Yang memerintah di  hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.


Bacaan ketika ruku’



Maha Suci TuhanKu Yang Maha Agung dengan sifat kepujian-Nya


Bacaan I’tidal (kembali berdiri dari ruku’)


Allah mendengar orang yang memuji-Nya



Ya Tuhan kami! Bagi-Mu segala puji


Bacaan Sujud


Maha Suci Tuhanku yang Maha Mulia dengan sifat kepujian-Nya



Bacaan ketika Duduk di antara dua sujud

Tuhanku! Ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, berilah aku petunjuk, sihatkanlah aku dan maafkanlah aku.



Bacaan Tahiyat Awal


Segala ucapan selamat yang berkat-berkat (berganda-ganda) dan doa yang baik-baik semuanya untuk Allah. Selamat sejahtera atasmu wahai Nabi dan rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Dan selamat sejahtera atas kita dan juga hamba-hamba Allah yang baik-baik. Aku mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah. Dan aku mengaku bahawa Muhammad utusan Allah. Ya Allah anugerahkanlah kesejahteraan atas Muhammad.


Bacaan Tahiyat Akhir


Segala ucapan selamat yang berkat-berkat (berganda-ganda) dan doa yang baik-baik semuanya untuk Allah. Selamat sejahtera atasmu wahai Nabi dan rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Dan selamat sejahtera atas kita dan juga hamba-hamba Allah yang baik-baik. Aku mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah. Dan aku mengaku bahawa Muhammad utusan Allah. Ya Allah anugerahkanlah kesejahteraan atas Muhammad dan keluarga Muhammad. Seperti yang Engkau telah anugarahkan kesejahtaraan atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad. Seperti yang Engkau telah berkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Tinggi.



Salam

 

Sejahtera atas kamu dan rahmat Allah

Tambahan:


Doa Qunut

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Dan peliharalah aku dari kejahatan perkara-perkara yang telah engkau qadhakkan (hukumkan/takdirkan). Maka bahawasanya Engkau yang menghukum bukannya Engkau yang dihukum. Bahawasanya tidak akan terhina orang yang telah Engkau pimpin. Dan tidak akan mulia orang yang telah Engkau musuhi. Maha Mulia Engkau, wahai tuhan kami dan Maha Tinggi Engkau. Maka bagi-Mu segala puji di atas apa yang Engkau tentukan. Aku mohon keampunan kepada-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu. Dan Allah sejahterakan junjungan kami Muhammad yang ummi (tidak tahu membaca), dan sejahtera atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Surah Al-Kausar


Dengan nama Allah yang Maha  Pemurah lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). (1) Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (2) Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya). / (3)

Surah Al-Kafirun


 Dengan nama Allah yang Maha  Pemurah lagi Maha Penyayang.

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! (1) Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. (2) Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. (3) Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. (4) Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. (5) Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. / (6)

Surah Al-Falaq


Dengan nama Allah yang Maha  Pemurah lagi Maha Penyayang.

Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, (1) “Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; (2)“Dan dari bahaya gelap apabila ia  masuk; (3) “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); (4)“Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”.(5)

Surah An-Nas


Dengan nama Allah yang Maha  Pemurah lagi Maha Penyayang.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. (1)“Yang Menguasai sekalian manusia, (2) “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, (3) “Dari kejahatan pembisik, penghasut  yang timbul tenggelam, -(4)“Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, -(5) “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”. (6)

-->
Dialog Rasulullah SAW Dengan Iblis
Allah SWT telah memerintahkan seorang Malaikat menemui Iblis supaya dia menghadap Rasulullah saw untuk memberitahu segala rahasianya, samada yang disukai mahupun yang dibencinya. Hikmatnya ialah untuk meninggikan darjat Nabi Muhammad saw dan juga sebagai peringatan dan perisai kepada umat manusia.
Maka Malaikat itu pun berjumpa Iblis dan berkata,   “Hai Iblis! Bahawa Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke hadrat Rasullullah saw. Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau dan apa-apa yang disoal oleh Rasulullah hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan pun, nescaya akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu, uratmu serta disiksa dengan azab yang amat keras.” 
Demi mendengar sahaja kata Malaikat yang dahsyat itu, Iblis sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah saw dengan menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih 10 helai; panjangnya seperti ekor lembu.
Iblis pun memberi salam, sehingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah saw.
Maka sembah Iblis (alaihi laknat),   "Ya Rasulullah! Mengapa tuan hamba tidak mejawab salam hamba? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah?"  
Maka jawab Nabi dengan marah,   "Hai Aduwullah seteru Allah! Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku sebagaimana engkau tipu Nabi Adam a.s sehingga keluar dari syurga, Habil mati teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara beberapa lama, kisah Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan engkau.
Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza wajalla, cuma salam engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah Iblis, raja segala syaitan yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?"  
Sembah Iblis,   "Ya Nabi Allah! Janganlah tuan hamba marah. Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan hamba. Kedatangan hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya hamba terhadap umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman.
Ya Nabi Allah! Setiap apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu persatu dengan sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan."  
Maka Iblis pun bersumpah menyebut nama Allah dan berkata,   "Ya Rasulullah! Sekiranya hamba berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba menjadi abu."  
Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun tersenyum dan berkata dalam hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat segala perbuatannya agar didengar oleh sekelian sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi perisai kepada sekelian umatku.  
 
-->
Soalan Nabi (1):   "Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar musuh engkau dan bagaimana aku terhadap engkau?"  
Jawab Iblis:   "Ya Nabi Allah! Tuanlah musuh hamba yang paling besar di antara segala musuh hamba di muka bumi ini."  
Maka Nabi pun memandang muka Iblis, dan Iblis pun mengeletar kerana ketakutan.
Sambung Iblis,   "Ya Khatamul Anbiya! Ada pun hamba dapat merupakan diri hamba seperti sekelian manusia, binatang dan lain-lain hingga rupa dan suara pun tidak salah sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang tidak dapat hamba tiru kerana ditegah oleh Allah. Kiranya hamba menyerupai diri tuan, maka terbakarlah diri hamba menjadi abu. Hamba cabutkan iktikad/niat anak Adam supaya menjadi kafir kerana tuan berusaha memberi nasihat dan pengajaran supaya mereka kuat untuk memeluk agama Islam; begitu jugalah hamba berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba akan tarik sekelian umat Islam dari jalan benar kepada jalan yang salah supaya masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya bersama hamba."
 Soalan Nabi (2):   "Hai Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk Allah?"  
Jawab Iblis:   "Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya hingga mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat durhaka, hamba lalaikan dengan harta benda daripada emas, perak dan permata, rumahnya, tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan ke jalan haram.
Demikian juga ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ hamba lepaskan sebesar-besar godaan supaya hilang maruah mereka itu hingga meminum arak lagi menarik seorang kawannya dipaksa minum. Apabila terminum arak itu maka hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba hulurkan tali cinta dan terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan hasad dengki hingga kepada pekerjaan zina. Apabila terjadi kasih antara mereka, terpaksalah mereka mencari wang hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri.
Apabila mereka teringat akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan galang mereka supaya mereka menangguhkannya. Bertambah keras hamba goda supaya menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda hatinya, datanglah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengah-lengahkan amalnya. Bila kena goda pada lidahnya, maka mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat. Demikianlah hamba goda mereka setiap saat."  
Soalan Nabi (3):   "Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah payah dan berpenat melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat yang besar serta siksa yang besar di neraka yang paling bawah? Hai kutuk Allah! Siapa yang menghidupkan engkau? Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang melanjutkan usia engkau? Siapa yang menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi pendengaran engkau? Siapa yang memberi kekuatan anggota badan engkau?"  
Jawab Iblis:   "Sekelian itu adalah anugerah daripada Tuhan Yang Maha Besar juga. Tetapi hawa nafsu dan takbur khianat itulah yang telah menceburkan diri hamba menjadi sebesar-besar jahat. Tuan lebih tahu bahawa hamba telah beribu-ribu tahun menjadi ketua kepada sekelian Malaikat dan pangkat hamba telah dinaikkan dari satu langit ke satu langit yang tinggi. Kemudian hamba tinggal di dunia ini beribadat bersama sekelian Malaikat beberapa lama. Tiba-tiba datang firman Allah SWT hendak menjadikan seorang Khalifah(raja) di dalam dunia ini, maka hamba pun membantah tiada suka berkhalifah atau beraja. Kemudian Allah mencipta lelaki (Nabi Adam) lalu dititahkan sekelian Malaikat memberi hormat kepada Adam itu, hanya hamba seorang yang tidak sujud kepadanya dan hamba ingkar akan hukumNya(Allah).
Oleh itu, Allah murka kepada hamba lalu dihalauNya serta dilaknatkan hamba hinggalah Hari Kiamat. Maka muka hamba yang bercahaya dan molek itu telah terhapus dan menjadi hodoh dan keji. Maka sakitlah hati hamba dan sentiasa hamba menaruh dendam kepadanya. Kemudian Allah menjadikan Adam raja di syurga dan dikurniakan seorang isteri (Siti Hawa) dan dijadikannya permaisuri (raja perempuan) yang memerintah sekelian bidadari.
Hamba bertambah dengki dan berdendam kepada mereka. Akhirnya dapat juga hamba tipu melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam memakan buah Khuldi larangan Allah. Maka daripada perempuan (Siti Hawa) itulah Adam termakan buah larangan itu, lalu keduanya dihalau dari syurga turun ke dunia. Kedua mereka berpisah beberapa tahun dan kemudian dipertemukan Allah (di Padang Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang anak.
Kemudian kami hasut pula anak lelakinya yang bernama Qabil supaya membunuh abangnya Habil. Itu pun hamba masih tidak puas hati hingga hamba lakukan berbagai tipu daya ke atas sekelian anak-cucunya hingga Hari Kiamat tetapi tuan telah membatalkan dan menggalang sekelian pekerjaan hamba kerana tuan menarik mereka itu supaya berpeluk kepada agama islam.
Sebelum tuan lahir ke dunia, hamba serta bala tentera hamba dengan mudah dapat naik ke langit untuk mencuri segala rahsia serta tulisan yang menyuruh manusia berbuat ibadat yang akan mendapat balasan pahala dan syurga, demikian juga mereka yang beribadat waktu larut malam mendapat setinggi-tinggi pahala. Apabila hamba turun ke dunia,  maka hamba khabarkan kepada sekelian mereka itu dengan bersalahan daripada asalnya dengan berbagai-bagai tipudaya hingga tersesat mereka itu dengan memegang kitab-kitab yang bidaah dan karut-marut. Tetapi apabila tuan lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak dibenarkan lagi oleh Allah untuk naik ke langit dan tiadalah hamba mendapat apa-apa rahsia umat tuan lagi kerana banyak Malaikat yang menjaga di pintu setiap lapisan langit. Jika hamba berkeras juga hendak naik, maka Malaikat akan melontar dengan anak panah daripada api yang menyala. Sudah banyak bala tentera hamba yang terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya terbakar menjadi abu. Maka besarlah kesusahan hamba dan tentera hamba untuk menjalankan tugas hasutan."  
Soalan Nabi (4):   "Hai Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu akan manusia?"  
Jawab Iblis:   "Pertama sekali hamba palingkan iktikadnya, imannya kepada kafir sama ada dari segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau hatinya. Jika tidak berjaya juga, hamba akan tarik dengan cara mengurangkan pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut kemahuan jalan hamba"  
Soalan Nabi (5):   "Hai Iblis! Jika umatku sembahyang kerana Allah, bagaimana hal engkau?"  
Jawab Iblis:    "Masa itulah sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah seluruh badan hamba dan lemahlah tulang sendi hamba. Maka pada waktu itu hamba kerahkan sekalian syaitan iblis menggoda orang yang hendak sembahyang pada tiap-tiap seorang manusia itu berpuluh-puluh iblis datang menggodanya. 
Setengah pada anggotanya supaya malas sembahyang, dan setengahnya masuk pada hatinya supaya was-was di dalam sembahyang dan terlupa bilangan rakaatnya, dan bimbang pada pekerjaan dunia dan hatinya sentiasa hendak segera keluar/habis dari sembahyangnya, dan setengah iblis masuk ke dalam mata orang yang hendak sembahyang supaya ia tidak kusyuk yakni tidak hadir hatinya di dalam sembahyang kerana bahawasanya orang yang berpaling atau menjeling ke kanan dan ke kiri di dalam sembahyang itu tidaklah tetap hatinya dan hilanglah khusyuknya. Dan setengah iblis masuk ke dalam telinganya supaya orang sembahyang itu memasang telinga mendengar orang yang bercakap dan mendengar suara bunyi-bunyian dan sebagainya yang sia-sia dan setengah iblis duduk pada belakangnya supaya orang yang sembahyang itu tidak kuasa duduk lama-lama di waktu sujudnya atau di waktu tahiyatnya dan di dalam hatinya berkehendakkan segera habis sembahyangnya kerana yang demikian itu adalah membawa kepada kurang pahala sembahyang. Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda manusia itu, maka hamba sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat hukuman."   
Soalan Nabi (6):   "Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah, apalah rasa engkau?"  
Jawab Iblis:    "Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah, maka rasa terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala urat hamba lalu hamba lari daripadanya."  
Soalan Nabi (7):   "Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, bagaimana rasa engkau?"  
Jawab Iblis:   "Binasalah diri hamba, gugurlah daging dan tulang hamba kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya."  
Soalan Nabi (8):  "Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana hal engkau?"  
Jawab Iblis:   "Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling besar bahayanya kepada hamba. Apabila masuk malam awal bulan Ramadhan, maka memancarlah cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut dengan kesukaan. Bagi orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan dosanya selama dia berpuasa. Tambahan lagi yang menghancurkan hati hamba ialah segala isi langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, hinggakan burung-burung dan ikan-ikan yang di dalam laut dan ikan air tawar demikian juga tiap-tiap yang bernyawa di atas muka bumi semuanya siang malam mendoakan keampunan bagi orang yang berpuasa.
Satu lagi setinggi kemuliaan bagi orang yang berpuasa iaitu dimerdekakan oleh Allah tiap-tiap hari dalam bulan ramadhan seribu kemerdekaan dari azab neraka, demikian lagi telah ditutup segala pintu neraka dan dibukakan segala pintu syurga yang lapan dan menghembus angin dari bawah Arasy yang bernama angin Syirah yang amat lembut ke dalam syurga.
Pada hari umat tuan mula berpuasa, dengan perintah Allah datanglah sekelian Malaikat dengan garangnya menangkap hamba dan tentera hamba; jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan besi panas dan dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana pula beberapa azab yang lain telah menunggu kami. Setelah habis umat tuan berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan amaran agar tidak mengganggu umat tuan. Umat tuan sendiri telah merasa ketenangan berpuasa seperti mana mereka bekerja dan bersahur seorang diri di tengah malam tanpa rasa takut berbanding bulan biasa."  
Soalan Nabi (9):   "Hai Iblis! Bagaimana sekelian sahabatku kepada engkau?"  
Jawab Iblis:   "Sekelian sahabat tuan hamba juga adalah sebesar - besar seteru kepada hamba. Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu tipu daya hamba yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata yang,   "Sekelian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikut mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk."
Ya Nabi Allah! Sekelian sahabat tuan hamba itu sangat taat mengerjakan perintah tuan hamba lagi setia dan bersungguh-sungguh menyiarkan dan menghebahkan syariat tuan hamba kepada sekelian manusia daripada Quran dan hadis.  
Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya, inikan pula setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu percaya atas kebenaran tuan hingga dia menjadi wazirul a'zam. Bahkan tuan sendiri telah mengatakan jika ditimbang sekelian isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan lebih berat amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah menjadi mertua tuan kerana tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak menghafaz Hadis tuan.
Saidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba pandang akan wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam dengan saksama. Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi hamba kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apalagi tuan telah mengatakan,   "JIKALAU adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh menggantikan aku",   kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai membezakan antara kafir dan Islam hingga digelar ' Umar Al-Faruq'.
Saidina Usman Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa bergerak membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu orang mati syahid dan menjadi menantu tuan sebanyak dua kali. Kerana taatnya, banyak Malaikat datang melawat dan memberi hormat kepadanya kerana Malaikat itu sangat malu kepadanya hingga tuan mengatakan,   "Barang siapa menulis Bismillahir rahmanir rahim pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala seperti pahala Usman mati syahid."  
Saidina Ali Abi Talib itu hamba sangat takut kerana hebatnya dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat bersopan, alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang muka beliau, maka terbakarlah kedua biji mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau adalah budak pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menundukkan kepalanya kepada sebarang berhala. Digelar 'Ali Karamullahu Wajhahu' - dimuliakan Allah akan wajahnya dan juga 'Harimau Allah' dan tuan sendiri berkata,   "Akulah negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya."   Tambahan pula dia menjadi menantu kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya."  
Soalan Nabi (10):  "Bagaimanakah tipu daya engkau kepada umatku?"  
Jawab Iblis:   "Umat tuan itu ada tiga macam.
Yang pertama seperti hujan dari langit yang menghidupkan segala tumbuhan iaitu ulama yang memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan laranganNya seperti kata Jibrail a.s,   "Ulama itu adalah pelita dunia dan pelita akhirat."  
Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu orang yang sabar, syukur dan redha dengan kurniaan Allah serta berbuat amal soleh, tawakal kepada Allah dan banyak berbuat kebajikan.
Yang ketiga umat tuan seperti Firaun; terlampau tamak dengan harta dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba pun sukacita lalu masuk ke dalam badannya, hamba putarkan hatinya menuju ke lautan derhaka. Apabila telah tetap pada jalan kejahatan hamba hela ke mana sahaja mengikut kehendak hamba. Jadi dia sentiasa bimbang kepada dunia dan tidak suka menuntut ilmu, tiada masa beramal ibadat, tidak mengeluarkan zakat hartanya dan setengah yang miskin hendak beribadat. Lalu hamba godanya minta biar kaya dahulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya, maka dilupakan beramal, tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam dengan istana mahligainya.
Bila umat tuan terkena penyakit tidak sabar dan tamak, dia sentiasa bimbang akan hartanya dan setengahnya asyik hendak merebut harta dunia, cakap besar kepada sesama Islam dan benci kepada yang miskin dan menghina kepada mereka, dan gemar membelanjakan hartanya kepada jalan maksiat, tempat judi dan perempuan lacur."  
Soalan Nabi (11):   "Siapa yang serupa dengan engkau?"  
Jawab Iblis:   "Orang yang meringankan syariat tuan hamba dan membenci orang belajar agama Islam."  
Soalan Nabi (12):   "Siapa yang mencahayakan muka engkau?"  
Jawab Iblis:  "Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu, dan pemungkir janji."  
Soalan Nabi (13):   "Apakah rahsia engkau kepada umatku?"  
Jawab Iblis:   "Jika seorang Islam pergi buang air besar serta tidak membaca doa pelindung syaitan, maka hamba gosok-gosokkan najisnya sendiri ke badannya tanpa dia sedari."  
Soalan Nabi (14):   "Jika umatku bersatu dengan isterinya, bagaimana hal engkau?"  
Jawab Iblis:   "Jika umat tuan hendak bersetubuh dengan isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka larilah hamba dari mereka. Jika tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi anak maka anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, durhaka. Ini semua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan atau minum tanpa membaca Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka makan, tiadalah rasa kenyang."  
Soalan Nabi (15):   "Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya engkau?"  
Jawab Iblis:   "Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kepada Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila marah segeralah mengambil air sembahyang, maka padamlah marahnya."  
Soalan Nabi (16):   "Siapakah orang yang paling engkau suka?"  
Jawab Iblis:   "Lelaki dan perempuan yang tidak mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu ari-ari (bulu kemaluan) selama 40 hari. Di situ lah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat pada bulu itu."  
Soalan Nabi (17):   "Hai Iblis! Siapakah saudara engkau?"  
Jawab Iblis:   "Orang yang tidur meniarap, orang yang matanya celik di waktu subuh tetapi menyambung tidur semula. Lalu hamba ulit dia lena hingga terbit fajar. Demikian juga pada waktu zohor, asar, maghrib dan isyak, hamba beratkan hatinya menjadi malas mengerjakan sembahyang."  
Apabila hendak tidur,  bacalah Bismillaahir rahmaanir rahiim (21 x)
Soalan Nabi (18):   "Apakah jalan yang membinasakan diri engkau?"  
Jawab Iblis:   "Orang yang banyak menyebut nama Allah, bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus Al-Quran dan solat tengah malam."   
Soalan Nabi (19):   "Hai Iblis! Apakah yang memecahkan mata engkau?"  
Jawab Iblis:   "Orang yang duduk di dalam masjid dengan kerana Allah serta beriktikaf di dalamnya".  
Soalan Nabi (20):   "Apa lagi yang memecahkan mata engkau?"  
Jawab Iblis:   "Orang yang taat kepada kedua ibubapanya, mendengar kata mereka, membantu makan pakai mereka selama mereka hidup, kerana tuan telah bersabda,   'Syurga itu di bawah tapak kaki ibu'"  
Soalan Nabi (21): “Hai Iblis ! Apa pula yang dapat merantai engkau ?”
Jawab Iblis: “Iaitu orang yang berjual atau berniaga dengan betul timbangan, sukatan, ukuran dan tukarannya”.
Soalan Nabi (22):“Hai Iblis ! Apabila umatku memberi salam antara satu dengan yang lain, bagaimana keadaan engkau ?”
Jawab Iblis: “Apabila bertemu dua orang di tengah perjalanan memberi salam dan dijawab oleh rakannya, maka pecahlah dada hamba rasanya, maka hambapun meratap kerana keduanya mendapat keampunan apabila kedua-duanya berpisah untuk urusan masing-masing”
Soalan Nabi (23):“Hai Iblis ! Siapa pula sahabat yang paling hampir dengan engkau ?”
Jawab Iblis: “Iaitu orang yang meminum arak, tuak, candu,ganja atau dadah kerana bahayanya telah jelas membawa pepecahan, perkelahian dan perceraian”.
Soalan Nabi (24):“Hai Iblis ! Siapa pula yang bersekutu dan bersekedudukan dengan engkau ?”
Jawab Iblis: “Iaitu apabila bertemu lelaki dengan perempuan muda, maka hamba duduk pada leher perempuan-perempuan muda itu , hamba hiaskan mukanya dengan jelingan dan senyuman yang menarik hati. Apabila dipandang belakangnya maka terpandang lehernya yang halus dengan pinggang dan punggung yang bergerak-gerak yang membangkitkan nafsu. Manakala di pandang depannya, hamba hiaskan dadanya dengan bergerak-gerak kedua kuntum yang melekat pada dadanya, lalu hamba panah pada jantung hati keduanya atau salah satu daripadanya hingga bergerak-gerak keinginan nafsu syahwatnya. Apabila orang tersebut tidak memelihara hatinya, nescaya tidak terpeliharalah farajnya (kemaluannya). Sesiapa yang tidak memelihara kemaluannya nescaya tiadalah terpelihara imannya”.
Soalan Nabi (25):“Hai Iblis ! Di mana tempat engkau diam (kediamanmu)?”
Jawab Iblis: “Iaitu pada rumah-rumah berhala dan pada batu, kayu, tembaga dan sebagainya. Apabila mereka menyembah selain daripada Allah, maka hamba cenderungkan hati mereka supaya bertambah yakin pada perbuatan yang syirik. Berapa ramai umat tuan yang telah hamba pesongkan masuk ke rumah berhala Majusi dan Hindu itu menunjukkan betapa nipisnya iman mereka”.
Soalan Nabi (26):“Hai Iblis ! Di mana tempat perhimpunan engkau ?”
Jawab Iblis: “Iaitu tiap-tiap rumah wayang dan tempat menari dan seumpamanya seperti tempat percampuran di antara lelaki dan perempuan (secara bebas)”.
Soalan Nabi (27):“Hai Iblis ! Aku lihat engkau mengintai-intai di dalam masjid, apakah yang hendak engkau lakukan?”
Jawab Iblis: “Hamba hendak mengganggu orang yang sedang bersolat di situ tetapi hamba sangat takut kepada seorang yang sedang tidur di situ”.
Maka tanya nabi : “Kenapa engkau tidak takut kepada orang yang solat padahal dia dalam solat dan bermunajat kepada Allah SWT. Mengapa engkau takut kepada orang yang tidur di sebelahnya, padahal dia di dalam lalai dan tidak memandang suatu apapun (tidak sedar) ?”
Jawab Iblis: “Orang yang sedang solat itu bodoh dan jahil, jika hamba hendak rosakkan solatnya itu sangat mudah, tetapi orang yang tidur itu sangat alim. Hamba takut ketika hamba mengoda dan merosakkan solat orang jahil itu, kalau-kalau orang alim itu tersedar lalu menegur dan membetulkan solat si jahil tersebut”. Maka sabda Nabi s.a.w: "Tidur orang yang alim itu terlebih baik daripada ibadat orang yang jahil", seperti 1,000 orang beribadat dengan tiada berpelajaran agama sangat senang syaitan mengacaunya, tetapi seorang pelajar ilmu fiqeh itu sangat susah syaitan hendak menggodanya.
Soalan Nabi (28):“Hai Iblis ! Apakah kata-kata pujian bagi engkau ?”
Jawab Iblis: “Iaitu suara orang yang menyanyi-yanyi dan berpantun seloka dan suara bunyi-bunyian (muzik) kecuali orang yang menyanyi, berpantun, bernazam memuji-muji Allah seperti bernasyid dan berselawat”.
Soalan Nabi (29):“Hai Iblis ! Siapakah yang sekaum dengan engkau ?”
Jawab Iblis: “Iaitu orang yang menipu harta orang dan memakan harta anak yatim serta memakan riba”.
Soalan Nabi (30):“Hai Iblis ! Dengan sebab apakah engkau gelapkan hati manusia ?”
Jawab Iblis: “Iaitu dengan sebab mereka makan dan minum dengan rezeki yang haram kerana mereka gelap mata (tidak nampak) pada mencari harta dengan cara yang halal dan mereka yang membanyakkan tidur meninggi hari sehingga terlepas solat Subuh serta mereka yang memenuhkan perutnya dengan sekenyang-kenyangnya”
Soalan Nabi (31):Hai Iblis ! Siapa yang menyukakan (menggembirakan) hati engkau ?”
Jawab Iblis: “Orang kaya yang bakhil dan orang yang tidak mengeluarkan zakat kepada orang yang dhaif tetapi zakatnya dihantar kepada orang lain padahal kaumnya miskin. Sesungguhnya bakhil itu adalah musuh Allah dan orang yang tidak mengeluarkan zakat itu akan dimasukkan ke dalam neraka yang paling bawah bersama-sama denganku”
Soalan Nabi (32):“ Hai Iblis ! Siapakah yang menyuburkan badan engkau ?”
Jawab Iblis: “Iaitu orang yang hasad dengki, orang yang tidak belajar etika dan ajaran Islam, segala perempuan yang jahat dan setiap perempuan yang mencabulkan dirinya serta menjualkan maruahnya”
Soalan Nabi (33):Hai Iblis ! Jika mati seorang ulama’ bagaimana perasaan engkau ?”
Jawab Iblis: “Telah subur dan bertunaslah hasutan hamba dan pekerjaan hamba”
Sabda Rasulullah SAW : “Barangsiapa berdukacita atas kematian seorang ulama’, maka dituliskan oleh Allah pahala baginya 1000 alim dan 1000 syuhada”.
Sabda Rasulullah SAW lagi: “Akan ada umatku mereka yang melarikan diri daripada para ulama. Dan bagi tiap-tiap orang yang membenci orang yang mengajarkan agama. Allah SWT akan menurunkan bala atas orang itu dengan tiga bala di dunia ini, iaitu: 1) Diangkat keberkatan daripada pencariannya.(rezeki/pendapatan) 2) Didatangkan Allah ke atas mereka itu seorang ketua yang zalim atau pun seorang raja yang zalim. 3) Dikeluarkan (dimatikan) mereka itu dari dunia ini dalam keadaan tidak beriman.
Soalan Nabi (34):Hai Iblis ! Jika umatku solat berjemaah, bagaimana keadaan engkau ?”
Jawab Iblis: “Sesungguhnya mereka itu terlepas daripada tipudaya hamba”
Sabda Rasulullah SAW : “Hai sahabatku sekelian ! Barangsiapa solat berjemaah 5 waktu, maka ia akan dikurniakan 5 perkara :
1.      Tidak ditimpa kemiskinan
2.      Dilepaskan dari siksa kubur
3.      Diserahkan kitab catatan di sebelah kanan
4.      Melalui titian sirat pantas seperti kilat menyambar
5.      Dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab
Sabda Rasulullah SAW lagi : “Adalah solat lelaki yang berjemaah itu terlebih baik daripada solat 40 tahun di rumahnya seorang diri, solat berjemaah itu mendapat 27 darjat dan seseorang yang solat berjemaah di rumahnya bersama anak dan isteri mendapat pahala haji dan umrah”
Soalan Nabi (35):“Hai Iblis ! Jika umatku membaca selawat ke atasku, bagaimana keadaan engkau?”
Jawab Iblis: "Mereka telah membelah muka hamba disebabkan mereka itu sangat ingat kepada tuanhamba”.
Sabda Rasulullah SAW : “Barangsiapa yang membaca selawat ke atasku, para malaikat memintakan keampunan baginya dan dia adalah ahli Syurga”.
Soalan Nabi (36): “Hai Iblis ! Jika umatku solat Hariraya ke masjid bagaimana hal engkau kerana Allah SWT telah berfirman : ”Hai sekelian Malaikat ! Saksikan olehmu bahawa sesungguhnya Aku telah ampunkan dosa seluruh umat Muhammad, lelaki dan perempuan”.
Apabila selesai solat dan khutbah maka firman Allah SWT : “Hai umat Muhammad ! Pulanglah kamu ke rumah masing-masing, sesungguhnya Aku telah ampunkan dosa kamu yang lalu dan yang akan datang dan Aku gantikan dosa kamu itu dengan kebajikan”
Jawab Iblis:: “Ya Rasulullah ! Apabila umat tuan hamba pergi solat hariraya, maka hamba sangat dukacita dan menyesal. Maka hambapun bertempik, datanglah sekelian bala tentera hamba dan mereka bertanya : “Hai raja kami ! Siapakah yang tuan murkakan ? Adakah ia (puncanya) dari langit atau bumi ? Perintahkanlah kami sekelian pergi membinasakan apa yang di langit dan di bumi”.
Maka sahut hamba : “Hai bala tenteraku ! Apa yang menyebabkan aku berdukacita ialah kerana Allah SWT telah mengampuni umat Muhammad pada hari raya ini. Wahai sekelian tenteraku ! Apakah kamu tidak mengetahui bahawa Allah telah menerima puasa umat Muhammad ? Dan Allah sangat kasih dan sayang kepada mereka dengan rahmatnya diperkenannya segala doa mereka serta diampunkan segala kesalahan mereka”.
“Hai tenteraku ! Hendaklah kamu goda mereka itu supaya mereka malas beramal ibadat dan supaya bimbang dengan berjalan ke sana ke mari , asyik berjudi dan bersukaria memuaskan hawa nafsu dengan mengerjakan pelbagai maksiat supaya datang kemurkaan Allah dan diturunkan bala ke atas mereka yang tentu akan menyenangkan hatiku”. Maka pergilah(berangkat) sekelian tentera Iblis syaitan mengacau umat Muhammad”.
Soalan Nabi (37):“Hai Iblis ! Jika umatku membaca doa akhir tahun bagaimana keadaan engkau ?”
Jawab Iblis: “Hamba telah bersusah-payah menggoda umat Muhammad sepanjang tahun, tiba-tiba mereka membaca doa (yang hanya) mengambil masa yang sedikit sahaja, maka lemahlah hamba lalu hamba sapukan dengan tanah. Betapa celaka dan malangnya diriku dengan kerugian dan hamba pun berpaling dan pergi”.
-->
Doa Akhir Tahun
Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.
Dengan izin Allah, sesiapa yang membaca doa ini akan mendapat Perlindungan Allah SWT dari fitnah dan tipu daya syaitan serta mendapat setahun keampunan dosa yang lalu.

Soalan Nabi (38):“Hai Iblis ! Jika umatku membaca doa awal tahun bagaimana keadaan engkau ?”
Jawab Iblis: “Ya Nabi Allah ! Putuslah harapan hamba, kerana sesiapa yang membaca doa awal tahun ini Allah memerintahkan kepada dua malaikat supaya dibakar buku kesalahannya dan dituliskan kebajikan di dalamnya kerana orang itu membaca doa ini”.
-->
Doa Awal Tahun
Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam 1 Muharram.
Barangsiapa membaca doa ini sebanyak 3 kali selepas solat rowatib ba’diyyah Maghrib pada malam tanggal 1 Muharram, Allah akan memerintahkan 2 malaikat untuk melindunginya daripada fitnah dan tipu daya syaitan selama setahun yang mendatang.

Soalan Nabi (39):“Hai Iblis ! Siapakah yang menyokong engkau ?”
Jawab Iblis: “Iaitu orang yang tidak bertaubat atas dosanya dan suka ketawa ketika berbuat dosa itu. Ya Nabi Allah ! Sesungguhnya telah hamba binasakan sekelian manusia dengan mengerjakan dosa daripada pelbagai maksiat, maka betapa sukanya hamba, tiba-tiba mereka itu mengucap La ilaa ha illallah dan istighfar maka binasalah hamba dengan sebab ucapannyanya itu”.
 “Lagi satu keuntungan yang besar kepada hamba ialah orang tua dan kanak-kanak yang bersiul-siul itulah anak buah hamba, kerana pada masa hamba dibuang ke dunia hamba mengembara dengan bersiul-siul dan orang yang bersiul itu penghibur Iblis Syaitan”. Tetapi orang yang azan itu adalah penghalau iblis syaitan, kerana para malaikat akan hadir bersolat bersama-sama dengan mereka ."
Soalan Nabi (40): “Hai Iblis ! Sekarang apakah kesudahan ikhtiar engkau di atas umatku, kerana aku telah dibangkitkan ke dunia ini bagi menyelamtkan sekelian bani Adam daripada kafir kepada iman, daripada gelap-gelita kepada terang-benderang”.
Jawab Iblis: “Maka Iblis pun mengangkat kepalanya ke hadrat Allah katanya : “Ya Rabbi, demi kemuliaan Engkau, sentiasalah hamba akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menarik sekelian anak Adam kepada berbagai-bagai jalan maksiat. Selama ada nyawa di dalam batang tubuh mereka itu, hamba jadikan pemuda-pemudi bercampur dan berkenalan, supaya senanglah hamba mencelah di dalamnya”
Maka firman Allah SWT : “Hai Mala’un! (yang dilaknat - Iblis). Demi kebesaranKu dan ketinggianKu ! Bahawa Aku sentiasa bersedia mengampuni dosa umat Muhammad selagi mereka itu memohon ampun kepadaKu”.
Rasulullah SAW bertanya: "Hai iblis! Apa lagi yang engkau musykilkan?" Jawab iblis laknatullah: "Ya Rasulullah! Bahawasanya hamba sangat ajaib (hairan) melihat dua macam hal sekelian hamba Allah SWT iaitu (1) Mereka itu mengaku kasihkan Tuhan, padahal mereka itu taat akan hamba dengan berbuat maksiat, (2) Mereka itu sangat marah kepada hamba, tetapi mereka menurut hasutan hamba." (Maka) Datanglah Firman Allah SWT: "Hai mala'un! Demi Kemuliaan dan KebesaranKu, Aku anugerahkan atas umat Muhammad (dengan) 2 kebahagiaan : (1) Kasih mereka kepadaKu dijadikan kifarah (penebus dosa) bagi maksiat mereka kerana tipudayamu, dan (2) Kemarahan mereka kepadamu Aku jadikan kifarah (penebus dosa) perbuatan maksiat mereka kepadaKu"
Maka iblis tercengang-cengang mendengar umat Muhammad yang sangat dikasihi Tuhan GhafuururRahiim yang Maha Mengampuni lagi Maha Mengasihani hambaNya dengan limpah rahmatNya. Setelah selesai baginda Rasulullah SAW berdialog dengan iblis laknatullah, maka baginda SAW pun menghalau iblis laknatullah dengan sabdanya : "Wahai laknatullah! Nyahlah engkau dari hadapanku ini" Maka iblis laknatullah pun keluar dengan perasaan yang amat dukacita.
Maka hairanlah para sahabat yang hadir dalam majlis berkenaan mendengar tipudaya iblis laknatullah yang menyelubungi seluruh tubuh umat manusia. Maka Sabda Nabi SAW: "Hai para sahabatku! Ketahuilah oleh kamu bahawa iblis laknatullah telah membuat kesalahan atas beberapa sebab: (1) ia engkar dan membantah perintah Tuhan, (2) ia takbur dan besar diri (3) ia berhasad dengki dengan nabi Adam a.s (4) Ia menghasut dan mendatangkan khianat dari seorang ke seorang seperti yang telah ia ajarkan kepada Qabil dengan tipudayanya sehingga berani Qabil melakukan pembunuhan ke atas saudaranya Habil yang disayangi oleh Nabi Allah Adam a.s".
Bermula dosa yang datang dengan sebab takabbur itu jauhilah ia daripada mendapat ampun seperti Azazil yang telah kena kutuk Allah dan kena rejam menjadi Iblis alaihil-laknah. Ada pun dosa yang datang dengan sebab suatu keinginan itu ada harapan mendapat ampun seperti bapa kita Adam a.s dan ibu kita Hawa dan Nabi Allah Daud bin Ishak a.s dan seumpamanya.
Ada pun dosa yang datang dengan sebab hasad denggki itu memakan ianya akan sekelian amal kebajikan seperti api yang memakan kayu.
Nabi SAW berkata lagi: "Bahawa pada suatu hari, iblis mengadap Musa bin Imran AS dan berkata : Yaa Nabi Allah! Apabila tuan hamba bermunajat kepada Allah SWT di Bukit Tursina, hamba hendak bertaubat kepada Allah SWT, adakah (taubat) aku diterimaNya?".

Maka sukacitalah nabi Musa AS mendengarkan iblis laknatullah yang hendak bertaubat itu lalu disanggupnyalah akan permintaan iblis laknatullah. Setelah tiba di Bukit Tursina, maka berdoalah baginda kepada Allah SWT memohon petunjuk. Maka datanglah firman Allah SWT: "Wahai Musa, kesalahan iblis itu boleh Aku ampunkan dengan syarat hendaklah ia (iblis) bersujud pada kubur nabi Adam". Maka nabi Musa AS pun menyampaikan firman Allah SWT kepada iblis laknatullah. Iblis laknatullah mengeluh dan berkata: "Wahai Musa! Semasa Adam masih hidup pun aku tidak sudi bersujud kepadanya, inikan pula, Adam telah mati." Maka iblis laknatullah pun beredar.
Sabda Nabi SAW: Bermula (tegaknya) tiang dunia ini dengan 4 perkara: (1) Dengan ilmu para ulama, (2) Dengan adilnya sekelian raja-raja, (3) Dengan kemurahan (hati) orang-orang kaya, (4) Dengan doa sekelian fakir miskin.
Maka sekiranya di dunia ini tidak ada ulama, nescaya binasalah sekelian orang yang jahil dan sekiranya raja-raja tidak adil, nescaya (segolongan) manusia (ibarat) memakan (segolongan) manusia yang lain sebagaimana harimau menghambat dan memakan kambing. Sekiranya (pula) tidak ada kemurahan (hati) orang-orang kaya, nescaya binasalah sekelian fakir miskin dan sekiranya tidak ada doa fakir miskin, nescaya runtuhlah langit dan bumi.
Wallahu'alam.

Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan. “Au zubillah himinashsyaitan nirrajim… bismillahirrahmannirrahim” Tafsirannya: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Sebelum anda masuk rumah, bacalah ayat tersebut, kemudian bacalah surah Al- Ikhlas sebanyak 3 kali. Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca bismillah. Berilah salam kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang dirumah berilah salam kerana malaikat rumah akan menyahut. Kerjakanlah solat lima waktu tanpa henti kerana salam pertama (ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan membantu kita menjawab persoalan kubur. Apabila malaikat memberi salam, seorang yang jarang bersolat akan sukar menjawab salam tersebut. Tetapi bagi mereka yang kerap bersolat, amalan daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya menjawab salam malaikat itu.  
                                       Kelebihan Surah Al-Ikhlas
  • Diriwayatkan oleh Iman Bukhari sabda Nabi Muhammad s.a.w: “Barang siapa membaca Qul huwa”llahu ahad 100,000 kali maka sesungguhnya ia telah menebus dirinya dari Allah, maka menyeru yang menyeru dari pihak Allah di langit dan di bumi. Kusaksikan bahwa sifulan itu telah menjadi pemendekaan Allah sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari sisi Allah, Sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari neraka”.
  • Inilah yang dinamakan membaca Qulhua”llahuahad satu khatam yaitu 100,000 kali dengan diwiridkan seberapa ribu kesanggupan kita sehari. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Barangsiapa membaca surah Al- Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga”. (Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby).
  • Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya “Siapakah antara Kamu yang dapat khatam Qur’an dalam jangkamasa dua-tiga minit?” Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab.
  • Malah Saiyidina Ummar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur’an dalam begitu cepat. Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al- Ikhlas tiga kali. Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al- Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 jus Al-Quran.
  • Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Ketika saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang sahara itu seluas dari timur hingga ke barat. Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al- Ikhlas.”
  • Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka: “Wahai Allah kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan”.
  • Sabda Rasulullah SAW lagi: “Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahad itu tertulis disayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s”.
  • Siapa membaca surah Fatihah, al-ikhlas, al-falaq, dan an-annas setiap satu sebanyak 7 kali selepas solat jumaat, nescaya terpelihara dari perkara keji dan segala bala hinggalah ke jumaat yang berikiutnya.
  • Jika dibaca 3 surah ini al-ikhlas, al-falaq dan an-nass pagi dan petang nescaya tidak mengalami apa-apa kesusahan.
  • Jika sekiranya kawan-kawan ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada kawan2 yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW “Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat”.
  • Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
1) Sedekah/amal jariahnya 2) Doa anak-anaknya yang soleh 3) Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.